Followers

Sunday 8 July 2012

Pemimpin Berintegriti membentuk bangsa bermaruah


Penerimaan Islam secara meluas di Nusantara pada abad ke 13 masihi telah mengubah banyak nilai dalam masyarakat tempatan, termasuk yang berkaitan dengan kepimpinan. Bermula daripada waktu itu Islam telah mengambil peranan kepimpinan yang meluas dan merangkumi hampir semua kegiatan hidup termasuklah keagamaan, Ibadat, keilmuan, sosial, politik dan sebagainya.

Baginda Rasulullah SAW merupakan contoh yang dikagumi bukan sahaja oleh Umat Islam malah turut disanjungi oleh ramai cendekiawan Barat kerana mempunyai kebolehan dalam memimpin sesebuah negara dan bertanggungjawab penuh ke atas perlaksanaanya. Beliau memikul tanggungjawab dengan penuh amanah selari dengan kehendak Allah SWT sehingga masyarakat Arab menggelarnya al-Amin. Seperti yang sedia maklum, Islam amat menitikberatkan aspek kepimpinan yang memiliki kualiti nilai insan yang hebat dan boleh menjadi contoh kepada seluruh masyarakat di dunia. Sesungguhnya umat Islam sangat beruntung kerana kita mempunyai seorang tokoh iaitu baginda Rasulullah SAW yang boleh dijadikan panduan dalam merealisasikan asas kepimpinan ini. Sabda Rasulullah SAW, bermaksud:

“Ingatlah bahawa setiap daripada kamu adalah penjaga dan setiap penjaga bertanggungjawab terhadap apa yang dijaganya. Dan seorang pemimpin itu bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya”

                                                                                              (Riwayat al-Bukhari)



Malaysia hari ini menghadapi krisis di mana berlakunya perebutan kuasa dalam pemerintahan. Pihak kerajaaan mahupun pembangkang masing-masing ingin memperjuangkan dan mempertahankan ideologi mereka agar rakyat memilih mereka untuk menjadi pemerintah negara.  Mereka menggunakan apa sahaja cara untuk menonjolkan kepimpinan mereka untuk mencari pengaruh daripada rakyat dan tanpa disedari sikap mereka itu telah mendedahkan kelemahan yang ketara.

Ahli-ahli politik tidak seharusnya hilang pertimbangan hingga dalam keghairahan mereka bersaing meraih kuasa politik, nasib rakyat tidak dihiraukan. Harus disedari bahawa kuasa politik bukan segala-galanya hingga perlu direbut dan walaupun dengan mengorbankan nilai dan prinsip akhlak. Rakyat menginginkan kebebasan dan keselesaan hidup. Inilah yang seharusnya diberi oleh demokrasi sebagai pemerintah rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat. Sayangnya sebagai wakil-wakil rakyat yang menjadi ahli-ahli politik tidak meletakkan usaha memperjuangkan nasib dan hak rakyat sebagai agenda utama mereka. Sebaliknya mereka berlumba-lumba mendapatkan kuasa politik sebagai wasilah untuk mendapat peluang dan habuan bagi memenuhi nafsu serakah dan memperkaya diri sendiri, walaupun dengan berbuat demikian hak-hak rakyat harus dikorbankan. Akibatnya berlaku seperti yang disebut oleh Jose Nun dalam bukunya, Democracy, iaitu kehilangan visi asal demokrasi yang mendaulatkan kerajaan rakyat sebaliknya yang muncul ialah kerajaan ahli-ahli politik.

Perdebatan awam adalah satu medium di mana orang ramai dapat melihat dan mengukur sendiri sejauh mana kebolehan calon yang mempunyai cita-cita untuk memimpin negara bukannya menyebarkan drama politik sama ada untuk meredakan tekanan kerja seharian mahupun sebagai rancangan realiti untuk meningkatkan pengetahuan seks masyarakat umum merentasi sempadan umur. Apa sahaja yang boleh disuarakan kepada Ahli Parlimen masing-masing mesti diambil kira apabila memilih orang yang akan mendapat kepercayaan Dewan Rakyat untuk menjadi PM. Ini adalah satu proses di mana rakyat Malaysia boleh mengambil bahagian dalam proses ini. Ini bukanlah sesuatu yang sukar. Inilah tandanya demokrasi yang progresif dan matang. Sedih sekali di kebanyakkan tempat di negara kita, rakyat masih rasa terikat pada wakil. Mereka beranggapan ahli parlimen adalah ketua dan bukan sebaliknya.

Dalam konteks Malaysia, serangan politik yang menyentuh keperibadian kadang-kala tidak dapat dielakkan, meskipun pendekatan ini amat dipertikaikan. Kita masih jauh dari persaingan politik yang sihat iaitu perdebatan politik yang diangkat martabatnya untuk membicarakan soal struktur dan sistem. Sudah menjadi trend perebutan kuasa hari ini mengaibkan dan menghina musuh politik dan keluarganya secara terbuka yang melampaui batas. Penghinaan secara terbuka tanpa mempertimbangkan perasaan anak-anaknya dengan aksi-aksi lucah, gambar-gambar, kata-kata yang kasar lagi kesat seperti “kaki buntut” dan sebagainya ketika berkempen, itu terlalu biadap namanya. Sememangnya, politik menjadi permainan jatuh-menjatuhkan politik dari jawatan dan kedudukannya, tetapi bukan untuk memijak maruah musuh politik sebagai seorang manusia. Betapa terdesak sekalipun, garis ini haram dilangkaui, bukan sahaja sebagai kayu ukur demokrasi, tetapi juga sebagai benteng ketamadunan.

Rakyat Malaysia seharusnya menuntut hak-hak mereka dalam negara. Perdebatan awam adalah asas demokrasi. Ia bukan merupakan seni pidato atau pertandingan ratu cantik tetapi satu forum di mana idea-idea dan polisi-polisi yang berbeza boleh dinilai orang awam, dengan ini rakyat boleh membuat keputusan mereka. Jawatan Perdana Menteri adalah tugas eksekutif tertinggi di sesebuah negara. Rakyat Malaysia mempunyai hak untuk mengukur potensi setiap calon untuk diri mereka sendiri dan tidak boleh tertakluk pada mana-mana parti kerana ini akan merugikan mereka. Perdana Menteri juga boleh dipilih dari mana-mana ahli Dewan Rakyat dan tidak terhad kepada presiden Umno sahaja. Ini tidak membuka ruang pemilihan Perdana Menteri, semua calon mesti membentangkan pelan dan idea-idea masing-masing dan aspirasi bagi rakyat Malaysia untuk menilainya dan akhir sekali meluluskannya sama ada di peti undi sendiri atau melalui wakil-wakil mereka di Parlimen.

Ini barulah adil, kerana ia mengikut peraturan demokrasi. Inilah tandanya sebuah negara yang demokratik dan matang. Justeru, atas kedudukan yang sebegini tinggi, yang diamanahkan kepada Kepimpinan, maka tidak wajarlah amanah kepimpinan diletakkan pada orang-orang yang tidak amanah dan layak.






No comments:

Post a Comment