Followers

Thursday 14 June 2012

Kewartawanan atas talian sukar dipercayai berbanding media arus perdana


Dunia tanpa sempadan itulah terma yang sangat sesuai dipadankan dengan apa yang sedang berlaku pada era kini di negara kita. Masyarakat tidak dapat dipisahkan daripada menggunakan teknologi yang semakin canggih dari hari ke hari sehingga segala maklumat boleh diperolehi hanya di hujung jari dan segalanya lebih mudah berbanding zaman dahulu. Perkara ini sangat memudahkan bagi masyarakat di zaman kini yang sangat sibuk sehinggakan tiada masa untuk mengetahui tentang apa yang berlaku di sekitar mereka dan di seluruh dunia. Kepesatan pembangunan teknologi mendorong seluruh masyarakat menjadikan medium internet sebagai salah satu cara mereka untuk mengakses segala jenis maklumat terutamanya berita-berita terkini yang sedang dan akan berlaku melalui laman sesawang.

Implikasi kepesatan pembangunan teknologi di Malaysia mendorong kepada kewujudan kewartawanan dalam talian. Dari hari ke hari semakin banyak wujudnya laman sesawang yang menyajikan berita terkini kepada penggunanya sama ada berita politik,  ekonomi, hiburan, luar negara, dalam negeri dan sebagainya. Terdapat beberapa laman web yang menyediakan khidmat berita atas talian ini antaranya Berita Harian online, Utusan online, NST online dan sebagainya. Memang diakui bahawa teknologi internet ini memberi satu implikasi yang besar dalam kehidupan masyarakat sejagat tetapi dewasa ini, kredibilitinya diragui. Kredibiliti di sini bermaksud keupayaan kewartawanan dalam talian itu sendiri dalam menyalurkan maklumat yang tepat kepada orang ramai jika dibandingkan dengan akhbar arus perdana.

Kredibiliti kewartawan atas talian ini sering kali diragui kerana ada sesetengah wartawan bebas menyelar pihak-pihak tertentu dengan niat untuk menjatuhkan pihak tersebut. Hal ini tidak berlaku di akhbar arus perdana kerana mereka perlu mengikuti segala etika kewartawan yang telah ditetapkan. Sebagai wartawan atas talian individu tersebut harus bersikap lebih rasional dalam mengutarakan pendapat mereka terhadap apa sahaja isu. Tetapi, sekarang wujudnya terlalu banyak blog atau ruangan yang membolehkan sesiapa sahaja yang ingin meluahkan apa yg dirasai dan maklumat yang ditulis itu tidak ditapis oleh pihak-pihak tertentu dan oleh sebab itu banyak fitnah dan tuduhan yang berlaku hasil daripada pandangan atau kritikan daripada individu yang tidak bertanggungjawab. Seharusnya, perkara ini harus dielakkan bagi mengelakkan pandangan negatif terhadap bidang kewartawanan atas talian ini. Berita atas talian ini lebih mudah tersebar dan implikasinya terhadap masyarakat amat kuat dan masyarakat mudah untuk mempercayainya. Oleh itu, wartawan yang menulis atas talian haruslah menulis sesuatu berita yang sahih dan melalui sumber yang boleh dipercayai supaya kredibiliti mereka tidak akan terjejas. Selain itu sebarang ulasan atau kritikan yang ingin dilemparkan haruslah dengan cara berhemah. Memang tiada salahnya jika ingin mengkritik tetapi biarlah kena dengan caranya. Jangan menjadikan bidang kewartawanan atas talian ini sebagai satu batu loncatan untuk kita menjatuhkan mana-mana individu yang kita tidak suka.


Hal ini berbeza pula dengan wartawan akhbar arus perdana atau akhbar tradisional. Mereka menulis sesutu perkara itu berdasarkan fakta yang diperoleh daripada sumber yang sahih. Segala apa yang dipaparkan itu adalah benar-benar tulen dan tidak boleh ditokok tambah. Wartawan akhbar itu sendiri yang akan pergi untuk mencari berita yang akan mereka siarkan di akhbar. Mereka hanya boleh menulis fakta sahaja tanpa mengutarakan sebarang pandangan atau kritikan. Wartawan akhbar ini telah dilatih untuk menulis dan mengikut garis panduan etika kewartawan yang ada. Oleh itu, mereka harus mengikut segala yang telah ditetapkan dalam etika kewartawanan tersebut berbanding dengan wartawan atas talian mereka menulis berita berdasarkan pandangan mereka sendiri dan ada antara mereka yang memanipulasikan dan mensensasikan perkara yang berlaku.

Memang benar masyarakat lebih tertarik dengan berita yang sensasi dan kontroversi seperti yang dipaparkan di blog atau mana-mana laman sesawang di internet. Ini sudah menjadi lumrah manusia iaitu lebih tertarik kepada berita sensasi yang ditulis oleh wartawan atas talian berbanding dengan hasil tulisan wartawan akhbar arus perdana yang menyajikan fakta-fakta berita kepada mereka. Oleh sebab itu, masyarakat memang mudah untuk dimanipulasi oleh segelintir  wartawan atas talian yang tidak bertanggungjawab yang sanggup meracuni fikiran masyarakat untuk kepentingan diri.  Kewartawanan atas talian ini amat bagus jika ianya memaparkan berita yang sahih dan tidak menokok tambah fakta asal sesuatu berita sesuka hati hanya mengikut perasaan. Mereka haruslah lebih rasional dalam mengutarakan sebarang idea, bantahan atau saranan kepada pihak atau individi lain. Memang benar semua golongan ada hak untuk meluahkan pandangan mereka sendiri tetapi ianya haruslah dengan cara yang berhemah.

Walaupun dengan adanya kewartawan atas talian ini, wartawan akhbar masih lagi relevan kerana ramai lagi masyarakat yang membeli dan mengikuti akhbar tradisional atau arus perdana sebagai bahan maklumat atau rujukan mereka. Kedua-duanya boleh digunakan sebagai sumber informasi kita tetapi masyarakat haruslah “tepuk dada tanya selera” sama ada mahu mempercayai segala yang disogokkan oleh wartawan atas talian atau mereka boleh berfikiran secara rasional dan mengambil ikhtibar dengan apa yang dipaparkan oleh kedua-dua medium itu sendiri. Akhbar arus perdana tidak boleh dilupakan kerana itulah sumber informasi kita dari dulu sehingga kini. Bab kata pepatah ianya “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”.