Followers

Tuesday 29 May 2012

Mengapakah perlunya debat dalam politik?


Debat atau perbahasan melibatkan dua kumpulan untuk berbincang dan bertukar-tukar pendapat disamping merangsang buah fikiran untuk diketengahkan kepada rakyat.  Pada pendapat saya, adalah wajar politik debat diadakan untuk menilai prestasi pemimpin dan kepimpinan. Dengan cara ini, pendebat boleh mengutarakan pendapat masing-masing, apa yang telah dilakukan dan apa yang akan dilakukan oleh mereka.

Budaya debat sangat wajar diketengahkan. Persoalannya disini mengapa perlunya mengamalkan negara demokrasi jika debat yang didakwa sesetengah pimpinan politik kerajaan BN bukan sebagai budaya kita. Budaya debat bukanlah milik Barat semata-mata. Sebagai contoh di Filipina, perdebatan adalah suatu kemestian ketika musim pilihanraya malah Commission on Election (Comelec) turut menyediakan platform untuk calon-calon pilihanraya berdebat. Perdebatan di antara calon bukan sahaja berlaku di peringkat tertinggi seperti calon presiden malahan ia turut berlaku sehingga peringkat bawahan.

Pada 22 Mei lalu, berlangsung debat ‘Pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) Dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi’ di antara Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin telah berjaya dianjurkan di Kompleks Media Karangkraf dan dipancarkan oleh Astro Awani dan Bernama 24. Debat itu diadakan adalah bertujuan untuk merungkai masalah sama ada PTPTN wajar dimansuhkan atau tidak dan wajarkah pendidikan percuma diberikan kepada pelajar institusi pengajian tinggi

Persoalan siapa menang atau kalah dalam perdebatan itu bukan tujuan utamanya. Apa pun syabas kepada kedua pendebat muda ini atas keberanian mereka menyampaikan hujah masing-masing. Debat yang didakwa sesetengah pimpinan politik kerajaan BN bukan sebagai budaya kita telah pun ditelan dek debat perintis ini.

Debat ‘Pemansuhan PTPTN’ atau “Pendidikan Percuma” dan dengan kata lain Pakatan Rakyat menyokong usul debat yakni untuk memberikan “Pendidikan Percuma” kepada pelajar sementara BN menolak “Pendidikan Percuma”di peringkat IPT. Melalui perdebatan itu, tugas Rafizi Ramli adalah untuk meyakinkan penonton dan rakyat supaya menyokong “Pemansuhan PTPTN” lantas mewujudkan “Pendidikan Percuma” kepada pelajar manakala tugas Khairy Jamaluddin pula adalah sebaliknya.

Sepanjang hujah Khairy Jamaluddin dalam perdebatan tersebut, beliau meyakinkan bahawa negara akan mengalami kemunduran dan akan bakal bankrap jika negara menghapuskan PTPTN. Manakala dalam hujah Rafizi Ramli pula menyatakan bahawa negara yang menjana RM181 bilion pendapatan setahun ini mampu memberikan pendidikan percuma, seandainya rasuah dapat dikekang, ketirisan dikurangkan dan prioriti diperbetulkan.


Pada pendapat saya, debat sangat penting untuk memberikan peluang kepada rakyat Malaysia mendengar pandangan dan hujah dua orang pemimpin daripada berlainan ideologi politik mereka untuk sama-sama membahaskan satu topik yang sangat dekat dengan kalangan anak muda hari ini. Apatah lagi acara debat yang membincangkan isu PTPTN diadakan dalam suasana kalangan golongan muda sedang sudah mula masuk ke pusat pengajian masing-masing.

Menurut Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata budaya debat adalah budaya barat yang masih belum boleh diterima di negara ini. Perkara ini tidak berlaku di negara maju yang lain termasuk pemilihan Presiden Perancis juga turut diadakan sesi debat antara calon yang bertanding, mengapa tidak Malaysia cuba mencontohi sesuatu yang baik untuk dilaksanakan dalam negara Malaysia ini berbanding dengan taktik dan serangan “baling batu, sembunyi tangan”?

Friday 4 May 2012

Lagu sekadar hiburan semata-mata


Jom kita sama-sama hayati bait-bait lirik lagu “Bawaku Pergi” nyanyian pelawak dan pelakon terkenal Zizan dan Kaka, hasil ciptaan Malique ini.



Lagu ini yang dahulunya kerap diputarkan di corong-corong radio dan juga televisyen telah pun diberhentikan penyiarannya  kerana ada pihak tertentu yang mendakwa lirik lagu ini membawa unsur-unsur  negatif yang boleh menjerumuskan remaja kepada kes lari dari rumah.

Kajian telah menunjukkan bahawa muzik ataupun lagu boleh mendatangkan kesan kepada pemikiran.  Tetapi wajarkah kita menyalahkan lagu ini sahaja yang kononnya akan menggalakkan remaja lari dari rumah sedangkan lagu-lagu lain seperti “What you waiting for” nyanyian Mizz Nina kerap dimainkan di stesen-stesen radio tanah air. Tidakkah ianya seperti menjatuhkan maruah gadis melayu? Kenapa tiada sebarang tindakan yang diambil dari pihak  berwajib?

Saya juga seorang remaja. Apabila mendengar lagu ini, saya beranggapan ianya hanya sebuah cerita dalam lagu. Bukannya ingin mempengaruhi sikap remaja untuk bertindak di luar jangkaan. Lagu “Bawaku Pergi” ini langsung tidak memberi kesan negatif kepada diri saya.

Pada pandangan saya, didikan itu bermula dari rumah.  Jika seseorang remaja itu lari dari rumah, perlukah kita menyalahkan muzik mahupun lagu semata-mata sedangkan kita langsung tidak pertimbangkan dari aspek lain. Bukannya mereka mendengar muzik sepanjang hari. Jelas-jelas aktiviti itu hanya sekadar hobi, apabila mereka bosan dan memerlukan sedikit hiburan. Tidakkah kita menyedari hal itu? Kenapa masih ingin menyalahkan lagu tersebut?