
Dunia tanpa sempadan itulah terma yang sangat sesuai dipadankan
dengan apa yang sedang berlaku pada era kini di negara kita. Masyarakat tidak
dapat dipisahkan daripada menggunakan teknologi yang semakin canggih dari hari
ke hari sehingga segala maklumat boleh diperolehi hanya di hujung jari dan
segalanya lebih mudah berbanding zaman dahulu. Perkara ini sangat memudahkan
bagi masyarakat di zaman kini yang sangat sibuk sehinggakan tiada masa untuk
mengetahui tentang apa yang berlaku di sekitar mereka dan di seluruh dunia.
Kepesatan pembangunan teknologi mendorong seluruh masyarakat menjadikan medium internet
sebagai salah satu cara mereka untuk mengakses segala jenis maklumat terutamanya
berita-berita terkini yang sedang dan akan berlaku melalui laman sesawang.
Implikasi kepesatan pembangunan
teknologi di Malaysia mendorong kepada kewujudan kewartawanan dalam talian.
Dari hari ke hari semakin banyak wujudnya laman sesawang yang menyajikan berita
terkini kepada penggunanya sama ada berita politik, ekonomi, hiburan, luar negara, dalam negeri
dan sebagainya. Terdapat beberapa laman web yang menyediakan khidmat berita
atas talian ini antaranya Berita Harian online, Utusan online, NST online dan
sebagainya. Memang diakui bahawa teknologi internet ini memberi satu implikasi
yang besar dalam kehidupan masyarakat sejagat tetapi dewasa ini, kredibilitinya
diragui. Kredibiliti di sini bermaksud keupayaan kewartawanan dalam talian itu
sendiri dalam menyalurkan maklumat yang tepat kepada orang ramai jika
dibandingkan dengan akhbar arus perdana.
Kredibiliti kewartawan atas talian
ini sering kali diragui kerana ada sesetengah wartawan bebas menyelar
pihak-pihak tertentu dengan niat untuk menjatuhkan pihak tersebut. Hal ini
tidak berlaku di akhbar arus perdana kerana mereka perlu mengikuti segala etika
kewartawan yang telah ditetapkan. Sebagai wartawan atas talian individu
tersebut harus bersikap lebih rasional dalam mengutarakan pendapat mereka terhadap
apa sahaja isu. Tetapi, sekarang wujudnya terlalu banyak blog atau ruangan yang
membolehkan sesiapa sahaja yang ingin meluahkan apa yg dirasai dan maklumat
yang ditulis itu tidak ditapis oleh pihak-pihak tertentu dan oleh sebab itu
banyak fitnah dan tuduhan yang berlaku hasil daripada pandangan atau kritikan
daripada individu yang tidak bertanggungjawab. Seharusnya, perkara ini harus
dielakkan bagi mengelakkan pandangan negatif terhadap bidang kewartawanan atas
talian ini. Berita atas talian ini lebih mudah tersebar dan implikasinya
terhadap masyarakat amat kuat dan masyarakat mudah untuk mempercayainya. Oleh
itu, wartawan yang menulis atas talian haruslah menulis sesuatu berita yang
sahih dan melalui sumber yang boleh dipercayai supaya kredibiliti mereka tidak
akan terjejas. Selain itu sebarang ulasan atau kritikan yang ingin dilemparkan
haruslah dengan cara berhemah. Memang tiada salahnya jika ingin mengkritik
tetapi biarlah kena dengan caranya. Jangan menjadikan bidang kewartawanan atas
talian ini sebagai satu batu loncatan untuk kita menjatuhkan mana-mana individu
yang kita tidak suka.

Hal ini berbeza pula dengan wartawan
akhbar arus perdana atau akhbar tradisional. Mereka menulis sesutu perkara itu
berdasarkan fakta yang diperoleh daripada sumber yang sahih. Segala apa yang
dipaparkan itu adalah benar-benar tulen dan tidak boleh ditokok tambah.
Wartawan akhbar itu sendiri yang akan pergi untuk mencari berita yang akan
mereka siarkan di akhbar. Mereka hanya boleh menulis fakta sahaja tanpa
mengutarakan sebarang pandangan atau kritikan. Wartawan akhbar ini telah
dilatih untuk menulis dan mengikut garis panduan etika kewartawan yang ada.
Oleh itu, mereka harus mengikut segala yang telah ditetapkan dalam etika
kewartawanan tersebut berbanding dengan wartawan atas talian mereka menulis
berita berdasarkan pandangan mereka sendiri dan ada antara mereka yang
memanipulasikan dan mensensasikan perkara yang berlaku.
Memang benar masyarakat lebih
tertarik dengan berita yang sensasi dan kontroversi seperti yang dipaparkan di
blog atau mana-mana laman sesawang di internet. Ini sudah menjadi lumrah
manusia iaitu lebih tertarik kepada berita sensasi yang ditulis oleh wartawan
atas talian berbanding dengan hasil tulisan wartawan akhbar arus perdana yang
menyajikan fakta-fakta berita kepada mereka. Oleh sebab itu, masyarakat memang
mudah untuk dimanipulasi oleh segelintir wartawan atas talian yang tidak
bertanggungjawab yang sanggup meracuni fikiran masyarakat untuk kepentingan
diri. Kewartawanan atas talian ini amat bagus
jika ianya memaparkan berita yang sahih dan tidak menokok tambah fakta asal
sesuatu berita sesuka hati hanya mengikut perasaan. Mereka haruslah lebih
rasional dalam mengutarakan sebarang idea, bantahan atau saranan kepada pihak
atau individi lain. Memang benar semua golongan ada hak untuk meluahkan
pandangan mereka sendiri tetapi ianya haruslah dengan cara yang berhemah.
Walaupun dengan adanya kewartawan atas talian ini, wartawan akhbar
masih lagi relevan kerana ramai lagi masyarakat yang membeli dan mengikuti
akhbar tradisional atau arus perdana sebagai bahan maklumat atau rujukan
mereka. Kedua-duanya boleh digunakan sebagai sumber informasi kita tetapi
masyarakat haruslah “tepuk dada tanya selera” sama ada mahu mempercayai segala
yang disogokkan oleh wartawan atas talian atau mereka boleh berfikiran secara
rasional dan mengambil ikhtibar dengan apa yang dipaparkan oleh kedua-dua
medium itu sendiri. Akhbar arus perdana tidak boleh dilupakan kerana itulah
sumber informasi kita dari dulu sehingga kini. Bab kata pepatah ianya “tak
lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”.
No comments:
Post a Comment