Followers

Tuesday 10 July 2012

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna


Sejak kebelakangan ini, masalah jenayah yang melibatkan kes penculikan kanak-kanak semakin berleluasa. Jika dahulu, tujuan penculikan adalah untuk meminta wang tebusan, kini ia semakin parah. Selain menuntut wang tebusan, mangsa berdepan kemungkinan dirogol, diserahkan kepada sindiket pelacuran atau paling kejam dibunuh.

Sebagai contoh kes penculikan Nurul Jazlin pada tahun 2007. Kanak-kanak yang tidak berdosa ini telah diperlakukan dengan kejam oleh manusia yang tidak mempunyai sifat kemanusiaan. Adik Nurul Jazlin telah diculik dan dibunuh dengan keadaan yang amat menyedihkan. Pada Mac lalu, kehilangan adik Nurul Nadirah Abdullah atau nama panggilannya Dirang akhirnya terjawab ekoran penemuan mayat beliau yang telah dibakar sehingga rentung pada 8 Mac 2012.

Sebagai rakyat Malaysia, tugas membendung kes penculikan tidak seharusnya diserahkan bulat-bulat kepada pihak polis. Institusi keluarga dan masyarakat mempunyai peranan yang cukup besar dalam menghindari masalah ini. Peranan ketua keluarga dalam mengawal anggota keluarga adalah suatu kewajipan, kerana ia merupakan langkah awal bagi mengelakkan ahli keluarga daripada terdedah kepada penculikan, hilang dan sebagainya.

Kanak-kanak hendaklah sentiasa berada di bawah pengawasan ibu bapa. Selain itu, mereka perlulah diajar cara untuk mempertahankan diri dan tidak berinteraksi dengan orang yang tidak dikenali untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Jika menyedari sesuatu yang mencurigakan segera laporkan kepada pihak polis dan jangan tunggu sehingga terlewat. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.

No comments:

Post a Comment